
Pemain-pemain Malaysia meraikan
kejayaan Fadhli Shas (tiga dari kiri) menjaringkan gol tunggal pasukan
kebangsaan menentang Chelsea dalam aksi persahabatan di Stadium Shah Alam,
kelmarin.
SHAH ALAM - Penjaring gol
tunggal Harimau Malaya, Mohd. Fadhli Shas, merasakan dia bagaikan bermimpi
dapat menjaringkan gol dengan menewaskan penjaga gol nombor satu Chelsea, Peter
Cech dalam perlawanan siri Jelajah Asia 2013 di Stadium Shah Alam.
Walaupun jaringan itu tidak
mampu menghalang kemenangan selesa The Blues ke atas Malaysia, Fadhli mengakui
tidak akan melupakan jaringan terbabit yang merupakan gol sulungnya bersama
pasukan kebangsaan.
Tambahnya, dia sentiasa
berusaha untuk menjaringkan gol sebelum ini terutama pada situasi bola mati,
namun nasib tidak pernah menyebelahinya dan rezeki dia akhirnya hadir pada
perlawanan menentang Chelsea.
"Selalu pada situasi
sepakan penjuru atau sepakan percuma, saya selalu bergerak masuk ke dalam kotak
penalti tetapi tidak pernah dapat menjaringkan gol dalam kebanyakan perlawanan
sebelum ini.
"Saya tertanya pada diri
saya sama ada saya bermimpi atau tidak kerana macam tidak percaya dapat
menewaskan Peter Cech dan cukup teruja perasaan ini apabila mampu menjaringkan
gol yang cukup bermakna sepanjang karier.
"Gol itu akan dikenang sampai
bila-bila dan saya anggap itu satu rezeki cukup berharga kerana sebelum
perlawanan pun memang langsung tidak terfikir untuk menjaringkan sebarang
gol," katanya yang ditemui selepas perlawanan.
Fadhli Shas memastikan gol sagu
hati buat Malaysia hadir pada masa kecederaan selepas sepakan percuma yang
diambil Safiq Rahim gagal ditampan kemas oleh Cech dan pemain kelahiran Lumut,
Perak itu menanduk masuk bola muntah yang hadir di depannya.
Gol itu sekurang-kurangnya
menjadi pengubat duka selepas melihat empat gol Harimau Malaysia bocor melalui
jaringan Bertrand Traore, Kevin De Bruyne, Romelu Lukaku dan Victor Moses
setelah 60 peratus permainan dikuasai Chelsea.
Pada masa sama, Fadhli
mendedahkan sebagai pemain pertahanan, perlawanan menentang kelab bimbingan
Jose Mourinho itu satu pengalaman yang cukup bermakna kerana dapat berdepan
penyerang-penyerang berkelas dunia seperti Demba Ba dan Lukaku.
"Memang dapat banyak
pengajaran berguna dalam perlawanan ini iaitu tentang bagaimana berdepan dengan
penyerang seperti Demba Ba dan Lukaku, jelas mereka begitu pantas dan fizikal
mereka memang kuat.
"Saya rasa seronok dapat
pendedahan sebegini kerana sekurang-kurangnya memberikan satu ilmu baru dan
mematangkan lagi tahap permainan saya di masa akan datang," katanya.[1]
[1]http://www.utusan.com.my/utusan/Sukan/20130723/su_04/Fadhli-tidak-percaya-tewaskan-Cech#ixzz2Zotv9rOr