SUKAN»Bola
Ahad, 22 Julai 2018 | 3:19pm

PEMAIN Johor Darul Ta'zim (JDT),
Mohamad Fadhli Mohd Shas (kiri) mengasak pemain Perak, Wander Luiz Bitencourt
Junior (dua kiri) dalam saingan Liga Super 2018 di Stadium Perak, Ipoh. - Foto
Abdullah Yusof
Kejuaraan musim ini paling
mencabar - Fadhli
Oleh Rizar Mohd Noor
sukanteam@nstp.com.my
JOHOR BAHRU: Tonggak pertahanan
Johor Darul Ta'zim (JDT), Mohd Fadhli Shas mengakui kejuaraan Liga Super musim
ini lebih mencabar berbanding empat kejuaraan yang dimenangi sejak musim 2014.
Bagaimanapun Mohd Fadhli tetap
meletak sasaran memastikan JDT terus cemerlang bagi meneruskan rentak
kemenangan apabila berdepan PKNP FC pada aksi liga di Stadium Perak, di Ipoh,
malam esok.
Katanya, baki dua perlawanan yang
diharungi JDT, bermula dengan aksi menentang PKNP FC, malam esok dan Kuala Lumpur
pada 27 Julai untuk mengakhiri saingan liga elit domestik tidak boleh dipandang
remeh sebaliknya pihaknya mahukan kemenangan.
"Musim ini cukup mencabar
sebelum kami merealisasikan impian muncul juara liga lima musim berturut-turut
dan saya gembira menambah koleksi kejuaraan sejak menyertai JDT pada musim 2014
dan lebih manis kami layak bersaing dalam kancah Liga Juara-Juara Asia (ACL)
buat pertama dalam sejarah bola sepak negara.
"Kami berdepan pelbagai isu
terutama pengambilan pemain import namun ia tidak menjejaskan tumpuan
mengharungi saingan liga tatkala barisan pemain tempatan mampu menggalas tugas
yang diamanahkan selain kebijaksaan pengurusan kelab mengatasi masalah itu.
"Ternyata pengalaman
menjuarai liga pada musim ini amat manis yang tidak akan dilupakan dan ia hasil
sokongan serta dorongan keluarga selain kami dalam satu pasukan sentiasa
bekerjasama antara satu sama dengan semangat keluargaan yang menjadi tunjang
utama kejayaan JDT," katanya ketika dihubungi Sukan NSTP.
Mengulas pertembungan menentang
skuad kendalian Abu Bakar Fadzim yang kini berada di tangga kelapan liga, Mohd
Fadhli berharap pemain JDT tidak leka dibuai kejayaan yang dikecapi dan kembali
fokus mengharungi baki aksi liga.
Menurutnya, PKNP FC adalah
pasukan yang mampu melakar kejutan apatah lagi beraksi di laman mereka sendiri
dan sudah tentu pasukan itu akan turun dengan corak permainan pantas bagi memburu
kemenangan.
"Siapa yang akan diturunkan
pada aksi itu tidak boleh leka dan mengelak daripada membuat kesilapan mudah
dan saya percaya walaupun persiapan menentang PKNP FC tampak singkat namun itu
bukan alasan.
"Selaku juara liga, kami
akan turun dengan persembahan yang mantap dan enggan pulang dengan tangan
kosong kerana sasaran kami untuk baki dua perlawanan adalah mengutip mata
maksimum," kata Mohd Fadhli.
Sumber-http://www.bhplus.com.my/sukan/bola/2018/07/452379/kejuaraan-musim-ini-paling-mencabar-fadhli
Tiada ulasan:
Catat Ulasan