MyMetroArena
Rizar Mohd Noor
sukanteam@nstp.com.my

JOHOR Darul Ta’zim (JDT) melakar
kemenangan kedua berturut-turut selepas menewaskan PKNP FC 3-0 pada aksi Liga
Super di Stadium Tan Sri Hassan Yunos, Larkin, sebentar tadi.
Pada pertembungan itu, pengendali
JDT, Ulisses Morais menampilkan Adam Nor Azlin bergandingan dengan Fadhli Shas
mengemudi benteng pertahanan sambil menyenaraikan Marcos Antonio, Gonzalo
Cabrera dan penjaga gol, Izham Tarmizi Roslan sebagai pemain simpanan.
Rombakan itu nyata tidak menjejas
rentak permainan skuad Harimau Selatan yang menguasai perlawanan dan hampir
mengundang cemas gawang gol pelawat selepas sepakan percuma kapten Safiq Rahim
pada minit ke-15 dari jarak 25 meter hanya melewati palang gol.
Dua minit sebelum rehat gerakan
menarik tuan rumah membuahkan hasil selepas taktik umpanan Safiq melorong bola
kepada Natxo Insa yang bertindak mengumpan kepada Jorge Pereyra Diaz sebelum
penyerang dari Argentina itu merembat kencang menewaskan penjaga gol, Syazani
Mat Puat.
Bersambung babak kedua, tuan
rumah terus menguasai perlawanan apabila sering mengasak ke kubu lawan malah
gerakan solo Diaz pada minit ke-50 yang bertindak menyusup masuk ke dalam kotak
penalti hampir mencemaskan gawang pelawat.
Tuan rumah menambah derita
pelawat pada minit ke-58 selepas sepakan sudut Safiq tepat kepada Fadhli yang
tidak dikawal mudah menanduk bola masuk menewaskan Syazani.
Kemasukan Cabrera pada minit
ke-59 menggantikan Hazwan Bakri nyata menambah sengat jentera serangan tuan
rumah apabila kerap mengasak kubu lawan yang terpaksa berkampung di kawasan
sendiri.
Malah Cabrera hampir mencipta gol
pada minit ke-71 hasil bola rembatan kaki kiri namun hanya melepasi palang
selepas menerima bola umpanan Insa.
Insa melengkapkan kemenangan
bergaya tuan rumah selepas menjaringkan gol pada minit akhir apabila merembat
bola leret menewaskan Syazani hasil umpanan La’Vere Corbin-Ong.
SUMBERArtikel ini disiarkan pada
: Selasa, 6 Februari 2018 @ 11:25 PM
Tiada ulasan:
Catat Ulasan