HM Digital

Johor Bahru: Pemain pertahanan
Johor Darul Ta’zim (Johor DT), Mohd Fadhli Shas menganggap aksi final Piala
Malaysia menentang Kedah di Stadium Shah Alam, Sabtu ini sebagai peluang
terbaik untuk mereka menebus kekecewaan tiga tahun lalu.
Kelab Harimau Selatan sekali
lagi melangkah ke perlawanan akhir selepas tewas kepada Pahang pada final 2014
di Stadium Nasional Bukit Jalil menerusi penentuan sepakan penalti 3-5 apabila
aksi 120 minit berkesudahan seri 2-2.
Fadhli, 26, yang turut beraksi
dalam perlawanan itu berkata, ini peluang terbaik mereka untuk melakar sejarah
Johor DT.
“Saya yakin pemain sudah
bersedia, kita akan cuba kerana Johor DT belum menang Piala Malaysia, jadi kita
nak bawa pulang selepas beberapa tahun tak dapat.
“Pada 2014, kita sudah hampir
nak menang tapi tak ada rezeki. Kalah sepakan penalti jadi peluang yang ada
kali ini perlu digunakan sebaik-baiknya,” katanya, semalam.
Final kali ini diibaratkan
pertemuan buku dengan ruas apabila Johor DT yang memenangi Liga Super berdepan
juara bertahan dan juga juara Piala FA Kedah.
Ketiadaan tonggak tengah
import, Marcos Antonio pada pertengahan musim akibat kecederaan dilihat tidak
memberi banyak masalah kepada benteng pertahanan Johor DT apabila Fadhli
mengisi kekosongan itu dengan cemerlang selepas mendapat kepercayaan jurulatih
Ulisses Morais.
Bekas pemain Harimau Muda A itu
bukan saja kental mengekang asakan lawan malah turut menyumbat lima gol dalam
semua kejohanan musim ini.
“Kami kena fokus, kami tidak
boleh hanya mengawasi pemain tertentu, sebaliknya kepada semua pemain Kedah
sepanjang masa. Kalau ada rezeki di final, mana tahu saya boleh jaringkan gol,”
katanya.
sumberArtikel ini disiarkan
pada : Selasa, 31 Oktober 2017 @ 9:50 AM
Tiada ulasan:
Catat Ulasan