Selasa, 21 November 2017

Terima kritikan dengan hati terbuka



12 November 2017 12:43 AM
FADHLI (kiri) bersama rakan sepasukan enggan patah semangat untuk memburu kemenangan ke atas Korea Utara pada aksi timbal balik kedua kelayakan Piala Asia di Stadium I-Mobile, Buriram esok.
BURIRAM, Thailand - Tonggak pertahanan negara, Fadhli Shas mengakui kritikan sebilangan besar penyokong Harimau Malaya yang menyaksikan perlawanan menentang Korea Utara di Stadium I-Mobile, Buriram, Thailand adalah wajar memandangkan mereka tewas 1-4 kelmarin.
Fadhli yang menjadi kapten negara pada aksi itu berkata, rakan sepasukan mengambil perkara tersebut dengan positif kerana ia adalah salah satu cabaran yang perlu dihadapi sebagai pemain profesional.
"Saya akui kami tidak beraksi dengan baik dan memahami perasaan penyokong yang hadir dari tanah air. Kami akan jadikan ia sebagai pengajaran selain bekerja keras untuk bangkit pada perlawanan seterusnya Isnin ini (esok).
"Apa yang penting, aksi kedua menentang Korea Utara adalah misi untuk menebus maruah selain menghidupkan sedikit api peluang kita untuk melayakkan diri ke pentas akhir Piala Asia 2019," katanya ketika ditemui pemberita pada sesi latihan di Buriram semalam.
Sebagai rekod, kekalahan kelmarin menyaksikan skuad kendalian Nelo Vingada itu perlu meraih mata maksimum selepas sekadar mengutip satu mata dalam empat perlawanan aksi Kumpulan B ketika ini.
Sementara itu, penjaga gol skuad negara, Hafizul Hakim Khairul Nizam Jothy percaya nasib tidak menyebelahi pasukan kebangsaan apabila Korea Utara dihadiahkan sepakan penalti pada awal perlawanan yang menjejaskan momentum rakan sepasukan.
"Saya akui pasukan tidak beraksi dengan baik dan tanggungjawab atas kekalahan ini akan dipikul oleh kesemua pemain. Secara jujur, saya turut tidak menyangka dibolosi empat gol tetapi segalanya sudah terjadi.
"Mungkin kelebihan dari segi fizikal yang dimiliki mereka menjadi salah satu punca kami tewas semalam (kelmarin). Namun, ia bukan alasan kerana kami tidak boleh menafikan bahawa mereka adalah pasukan yang lebih baik sepanjang 90 minit perlawanan," kata penjaga gol Perak itu.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan