Ahad, 31 Disember 2017

JDT tampil lebih hebat musim 2018 - Fadhli

31 Disember 2017 4:01 PM
Fadhli yakin kehadiran semula Figueroa dan Diaz serta beberapa pemain baharu bakal memperkuatkan lag
 Fadhli yakin kehadiran semula Figueroa dan Diaz serta beberapa pemain baharu bakal memperkuatkan lag
Fadhli yakin kehadiran semula Figueroa dan Diaz serta beberapa pemain baharu bakal memperkuatkan lagi cabaran skuad Harimau Selatan itu musim depan.

KUALA LUMPUR - Pemain pertahanan tengah Johor Darul Ta'zim (JDT), Mohammad Fadhli Shas yakin kehadiran beberapa pemain baharu dalam skuad Harimau Selatan mampu menyuntik semangat kepada mereka untuk memburu lebih banyak kejuaraan pada musim depan.

Pemain kebangsaan itu percaya kehadiran  beberapa muka baharu selain kembalinya dua penyerang berbisa skuad Harimau Selatan iaitu Luciano Figueroa dan Jorge Pereyra Diaz dapat menajamkan lagi jentera serangan skuad berkenaan.


JDT yang juga juara bertahan Liga Super sejak 2014 mendapatkan khidmat beberapa pemain muda seperti Mohamed Syamer Kutty Abba dari Pulau  Pinang, Adam Nor Azlin (Selangor),  Muhammad Syafiq Ahmad (Kedah), dua pemain import iaitu La' Vere Corbin-Ong (Kanada) dan Bruno Gabriel Soares (Brazil) selain turut mengesahkan kehadiran semula dua tonggak import dari Argentina itu.

"Apabila saingan musim baharu bermula, sudah tentu cabarannya lebih getir. Sebagai pemain, kami seharusnya perlu lebih mantap bukan saja dari segi fizikal dan tahap kecergasan tetapi juga kekuatan mental," kata Mohammad Fadhli  menerusi posting terbaharu laman Facebook JDT,  'The Southern Tigers'.

Dalam pada itu, bekas pemain skuad Harimau Muda tersebut  menegaskan objektif pasukan berkenaan tetap sama iaitu mempertahankan kejuaraan Liga Super pada musim depan, sekali gus layak beraksi secara automatik ke peringkat kumpulan Liga Juara-Juara Asia (ACL) pada 2019.

Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) mengesahkan Malaysia bakal meraih satu slot automatik dan satu slot ke pusingan kelayakan ACL pada 2019 berdasarkan ranking kelab AFC yang dikeluarkan baru-baru ini yang menyaksikan Malaysia menduduki tangga keenam dalam Zon Timur.

"Berita itu pasti menyemarakkan lagi semangat kami untuk berusaha bersungguh-sungguh bagi menempatkan JDT dalam saingan kelab Asia, tetapi kami juga harus berwaspada dengan ancaman pasukan lain yang mengimpikan slot berkenaan," kata  Mohammad Fadhli Shas yang menyertai JDT sejak 2014.

Sementara itu, beliau berkata tiga aksi persahabatan pramusim di Thailand bulan depan menjadi medan terbaik untuk skuad Harimau Selatan membaiki corak persembahan sebelum berdepan naib juara Liga Perdana Thailand, Muangthong United pada aksi pusingan  kelayakan ACL 2018, hujung Januari ini.

JDT dijadualkan mengadakan aksi persahabatan dengan tiga kelab tempatan di sana iaitu Army United, Chonburi FC dan Port FC. – Bernama

SUMBER-KOSMO ONLINE 31 Disember 2017 4:01 PM

Rabu, 20 Disember 2017

Harimau tunjuk belang

ARKIB : 17/02/2009
KUALA LUMPUR - Cengkaman Harimau Muda semakin berbisa. Skuad bimbingan K. Rajagopal itu kini gah dengan kelebihan dua mata di tangga teratas Liga Perdana dengan kemenangan 1-0 ke atas MBJB di Stadium Tan Sri Hassan Yunos, Johor Bahru, semalam.

Harimau Muda bagaimanapun diberi tentangan sebelum menemui jaringan kemenangan pada minit ke-88 menerusi tandukan Mohd. Fadhli Mohd. Shaz untuk mengumpul 12 mata maksimum.

Pelawat mengambil kesempatan ke atas pasukan tuan rumah yang beraksi dengan 10 pemain apabila Mohd. Hairulasbah Yunos dilayangkan kad merah pada minit ke-50.

Kelebihan dua mata di puncak liga oleh Harimau Muda dibantu aksi longlai pencabar terdekatnya, Johor yang seri 1-1 dengan T-Team di Stadium Sultan Mizan, Kuala Terengganu.

T-Team di depan hasil jaringan Hazrulhasran Aminuddin Baki di minit ke-12, namun Mohd. Faizul Husin memastikan Johor pulang dengan satu mata hasil gol penyamaan di minit ke-35.

Perlawanan berlangsung sengit sehingga dua pemain dari kedua-dua pasukan dilayangkan kad merah, iaitu pemain Johor Mohd. Nor Hisham Hassan dan Mohd. Sairozi Daud dari T. Team.

Di Stadium Hang Jebat, tuan rumah Melaka seri 1-1 dengan Sarawak. Melaka di depan menerusi gol awal Mohd. Hanafian Abu Bakar di minit kedua dan pelawat terpaksa menunggu hingga minit ke-72 untuk gol penyamaan Joseph Kalang Tie.

Dua lagi perlawanan berakhir dengan seri tanpa jaringan melibatkan Shahzan Muda dengan Sabah di Stadim Darulmakmur dan Felda United menentang Kuala Lumpur di Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur, Cheras.

Di Stadium MBPJ, Proton FC berpesta gol apabila menang 4-1 ke atas pendatang baru, SDM Kepala Batas.

Pelawat bagaimanapun mengejutkan Proton hasil jaringan Mohd. Nor Hamidon di minit ke-25 tetapi kemudiannya bangkit dengan empat gol menerusi Mohd. Zamri Hassan (m-44), Azralan Azmi (m-76, m-90) dan Ashadi Mohd. Yusuf (m-85).

Aksi di tempat sendiri membantu PKNS mencatat kemenangan selesa 3-0 ke atas Angkatan Tentara (ATM) di Stadium Selayang, di sini.
SUMBERArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2009&dt=0217&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_03.htm#ixzz51qV1zIIr

© Utusan Melayu (M) Bhd

Selasa, 21 November 2017

Terima kritikan dengan hati terbuka



12 November 2017 12:43 AM
FADHLI (kiri) bersama rakan sepasukan enggan patah semangat untuk memburu kemenangan ke atas Korea Utara pada aksi timbal balik kedua kelayakan Piala Asia di Stadium I-Mobile, Buriram esok.
BURIRAM, Thailand - Tonggak pertahanan negara, Fadhli Shas mengakui kritikan sebilangan besar penyokong Harimau Malaya yang menyaksikan perlawanan menentang Korea Utara di Stadium I-Mobile, Buriram, Thailand adalah wajar memandangkan mereka tewas 1-4 kelmarin.
Fadhli yang menjadi kapten negara pada aksi itu berkata, rakan sepasukan mengambil perkara tersebut dengan positif kerana ia adalah salah satu cabaran yang perlu dihadapi sebagai pemain profesional.
"Saya akui kami tidak beraksi dengan baik dan memahami perasaan penyokong yang hadir dari tanah air. Kami akan jadikan ia sebagai pengajaran selain bekerja keras untuk bangkit pada perlawanan seterusnya Isnin ini (esok).
"Apa yang penting, aksi kedua menentang Korea Utara adalah misi untuk menebus maruah selain menghidupkan sedikit api peluang kita untuk melayakkan diri ke pentas akhir Piala Asia 2019," katanya ketika ditemui pemberita pada sesi latihan di Buriram semalam.
Sebagai rekod, kekalahan kelmarin menyaksikan skuad kendalian Nelo Vingada itu perlu meraih mata maksimum selepas sekadar mengutip satu mata dalam empat perlawanan aksi Kumpulan B ketika ini.
Sementara itu, penjaga gol skuad negara, Hafizul Hakim Khairul Nizam Jothy percaya nasib tidak menyebelahi pasukan kebangsaan apabila Korea Utara dihadiahkan sepakan penalti pada awal perlawanan yang menjejaskan momentum rakan sepasukan.
"Saya akui pasukan tidak beraksi dengan baik dan tanggungjawab atas kekalahan ini akan dipikul oleh kesemua pemain. Secara jujur, saya turut tidak menyangka dibolosi empat gol tetapi segalanya sudah terjadi.
"Mungkin kelebihan dari segi fizikal yang dimiliki mereka menjadi salah satu punca kami tewas semalam (kelmarin). Namun, ia bukan alasan kerana kami tidak boleh menafikan bahawa mereka adalah pasukan yang lebih baik sepanjang 90 minit perlawanan," kata penjaga gol Perak itu.

Isnin, 13 November 2017

Fadhli ganti tempat Safiq



Daripada Zulfaizan Mansor di Buriram dan Thailand
zulfaizan@bh.com.my
 
PERTAHANAN Johor Darul Ta’zim (JDT), Fadhli Shas menjadi pilihan jurulatih, Nelo Vingada untuk memakai lilitan kapten Harimau Malaya pada aksi kelayakan Piala Asia 2019 berdepan Korea Utara di Stadium I-Mobile, malam ini.

Vingada menjelaskan, Fadhli memiliki karektor untuk memacu skuad Harimau Malaya bagi mendapatkan keputusan positif dalam aksi hidup mati mereka dalam kempen kelayakan.

“Saya fikir dia (Fadhli) layak dan saya yakin dia mampu memimpin pasukan dengan baik sepanjang 90 minit perlawanan nanti,” kata Vingada.

Fadhli akan menggalas tugas sebagai ‘jeneral’ Harimau Malaya selepas ketiadaan Safiq Rahim akibat penggantungan kerana menerima kad merah pada aksi berdepan Hong Kong pada 10 Oktober lalu yang menyaksikan mereka tewas 0-2.

Sementara itu, Fadhli berharap semua pemain dapat memberi kerjasama sepenuhnya di atas padang bagi memastikan kemenangan menjadi milik Harimau Malaya.

“Soal siapa kapten itu tidak penting kerana paling utama adalah semua pemain perlu beraksi dengan baik.

“Insya-Allah kami akan berusaha dan dengan doa daripada seluruh rakyat Malaysia, kami mampu mencapai keputusan positif,” katanya.

SUMBER-Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 10 November 2017 @ 11:25 AM

Rabu, 1 November 2017

Peluang terbaik tebus kekecewaan tiga tahun lalu



HM Digital
 
Johor Bahru: Pemain pertahanan Johor Darul Ta’zim (Johor DT), Mohd Fadhli Shas menganggap aksi final Piala Malaysia menentang Kedah di Stadium Shah Alam, Sabtu ini sebagai peluang terbaik untuk mereka menebus kekecewaan tiga tahun lalu.

Kelab Harimau Selatan sekali lagi melangkah ke perlawanan akhir selepas tewas kepada Pahang pada final 2014 di Stadium Nasional Bukit Jalil menerusi penentuan sepakan penalti 3-5 apabila aksi 120 minit berkesudahan seri 2-2.

Fadhli, 26, yang turut beraksi dalam perlawanan itu berkata, ini peluang terbaik mereka untuk melakar sejarah Johor DT.

“Saya yakin pemain sudah bersedia, kita akan cuba kerana Johor DT belum menang Piala Malaysia, jadi kita nak bawa pulang selepas beberapa tahun tak dapat.

“Pada 2014, kita sudah hampir nak menang tapi tak ada rezeki. Kalah sepakan penalti jadi peluang yang ada kali ini perlu digunakan sebaik-baiknya,” katanya, semalam.

Final kali ini diibaratkan pertemuan buku dengan ruas apabila Johor DT yang memenangi Liga Super berdepan juara bertahan dan juga juara Piala FA Kedah.

Ketiadaan tonggak tengah import, Marcos Antonio pada pertengahan musim akibat kecederaan dilihat tidak memberi banyak masalah kepada benteng pertahanan Johor DT apabila Fadhli mengisi kekosongan itu dengan cemerlang selepas mendapat kepercayaan jurulatih Ulisses Morais.

Bekas pemain Harimau Muda A itu bukan saja kental mengekang asakan lawan malah turut menyumbat lima gol dalam semua kejohanan musim ini.

“Kami kena fokus, kami tidak boleh hanya mengawasi pemain tertentu, sebaliknya kepada semua pemain Kedah sepanjang masa. Kalau ada rezeki di final, mana tahu saya boleh jaringkan gol,” katanya.

sumberArtikel ini disiarkan pada : Selasa, 31 Oktober 2017 @ 9:50 AM

Ahad, 19 Februari 2017

BIOGRAFI MOHD FADHLI MOHD SHAS

BIOGRAFI MOHD FADHLI MOHD SHAS   OLEH AHMAD YAAKOB

Mohammad Fadhli Shas dilahirkan di Lumut, Perak. Tetapi keluarganya berasal dari Johor Bahru, Johor. Mohd Fadhli merupakan pemain pertahanan tengah yang mempunyai ketinggian 1.84m atau 6 kaki ½ inci. Beliau memulakan kerjaya bolasepak dengan menyertai Sekolah Sukan Bukit Jalil mulai tahun 2004 hingga 2008.


       Mohd Fadhli kemudiannya mewakili Harimau Muda dalam Liga Perdana Malaysia mulai tahun 2008-2009 dengan membuat 27 penampilan dan menjaringkan  5 gol. Pada tahun 2009 Fadhli membuat 43 penampilan bersama pasukan Harimau Muda A yang muncul sebagai juara Liga Perdana. Pada tahun 2010 Mohd Fadli Shas yang ketika itu berusia 19 tahun dipanggil menyertai pasukan bolasepak Malaysia ke Piala AFF Suzuki. Ketika itu Mohd Fadhli berpasangan dengan Muslim Ahmad untuk membentuk barisan pemain pertahanan negara yang kental sehingga Malaysia muncul buat pertama kali sebagai Juara Piala AFF Suzuki 2010 di Indonesia. Pada tahun 2011, beliau mewakili negara dalam kejohanan Sukan SEA dan Malaysia muncul juara serta memenangi pingat emas. Kini Mohd Fadhli Mohd Shas telah membuat 29 penampilan bersama pasukan bolasepak kebangsaan Malaysia. Beliau menjaringkan gol pertama ketika perlawanan persahabatan menentang Chelsea.

Sabtu, 28 Januari 2017

Fadhli tidak percaya tewaskan Cech

Pemain-pemain Malaysia meraikan kejayaan Fadhli Shas (tiga dari kiri) menjaringkan gol tunggal pasukan kebangsaan menentang Chelsea dalam aksi persahabatan di Stadium Shah Alam, kelmarin.
SHAH ALAM - Penjaring gol tunggal Harimau Malaya, Mohd. Fadhli Shas, merasakan dia bagaikan bermimpi dapat menjaringkan gol dengan menewaskan penjaga gol nombor satu Chelsea, Peter Cech dalam perlawanan siri Jelajah Asia 2013 di Stadium Shah Alam.
Walaupun jaringan itu tidak mampu menghalang kemenangan selesa The Blues ke atas Malaysia, Fadhli mengakui tidak akan melupakan jaringan terbabit yang merupakan gol sulungnya bersama pasukan kebangsaan.
Tambahnya, dia sentiasa berusaha untuk menjaringkan gol sebelum ini terutama pada situasi bola mati, namun nasib tidak pernah menyebelahinya dan rezeki dia akhirnya hadir pada perlawanan menentang Chelsea.
"Selalu pada situasi sepakan penjuru atau sepakan percuma, saya selalu bergerak masuk ke dalam kotak penalti tetapi tidak pernah dapat menjaringkan gol dalam kebanyakan perlawanan sebelum ini.
"Saya tertanya pada diri saya sama ada saya bermimpi atau tidak kerana macam tidak percaya dapat menewaskan Peter Cech dan cukup teruja perasaan ini apabila mampu menjaringkan gol yang cukup bermakna sepanjang karier.
"Gol itu akan dikenang sampai bila-bila dan saya anggap itu satu rezeki cukup berharga kerana sebelum perlawanan pun memang langsung tidak terfikir untuk menjaringkan sebarang gol," katanya yang ditemui selepas perlawanan.
Fadhli Shas memastikan gol sagu hati buat Malaysia hadir pada masa kecederaan selepas sepakan percuma yang diambil Safiq Rahim gagal ditampan kemas oleh Cech dan pemain kelahiran Lumut, Perak itu menanduk masuk bola muntah yang hadir di depannya.
Gol itu sekurang-kurangnya menjadi pengubat duka selepas melihat empat gol Harimau Malaysia bocor melalui jaringan Bertrand Traore, Kevin De Bruyne, Romelu Lukaku dan Victor Moses setelah 60 peratus permainan dikuasai Chelsea.
Pada masa sama, Fadhli mendedahkan sebagai pemain pertahanan, perlawanan menentang kelab bimbingan Jose Mourinho itu satu pengalaman yang cukup bermakna kerana dapat berdepan penyerang-penyerang berkelas dunia seperti Demba Ba dan Lukaku.
"Memang dapat banyak pengajaran berguna dalam perlawanan ini iaitu tentang bagaimana berdepan dengan penyerang seperti Demba Ba dan Lukaku, jelas mereka begitu pantas dan fizikal mereka memang kuat.
"Saya rasa seronok dapat pendedahan sebegini kerana sekurang-kurangnya memberikan satu ilmu baru dan mematangkan lagi tahap permainan saya di masa akan datang," katanya.[1]



[1]http://www.utusan.com.my/utusan/Sukan/20130723/su_04/Fadhli-tidak-percaya-tewaskan-Cech#ixzz2Zotv9rOr