12 November 2017 12:43 AM
FADHLI (kiri) bersama rakan sepasukan enggan
patah semangat untuk memburu kemenangan ke atas Korea Utara pada aksi timbal
balik kedua kelayakan Piala Asia di Stadium I-Mobile, Buriram esok.
BURIRAM, Thailand - Tonggak pertahanan negara,
Fadhli Shas mengakui kritikan sebilangan besar penyokong Harimau Malaya yang
menyaksikan perlawanan menentang Korea Utara di Stadium I-Mobile, Buriram,
Thailand adalah wajar memandangkan mereka tewas 1-4 kelmarin.
Fadhli yang menjadi kapten negara pada aksi itu
berkata, rakan sepasukan mengambil perkara tersebut dengan positif kerana ia
adalah salah satu cabaran yang perlu dihadapi sebagai pemain profesional.
"Saya akui kami tidak beraksi dengan baik
dan memahami perasaan penyokong yang hadir dari tanah air. Kami akan jadikan ia
sebagai pengajaran selain bekerja keras untuk bangkit pada perlawanan
seterusnya Isnin ini (esok).
"Apa yang penting, aksi kedua menentang
Korea Utara adalah misi untuk menebus maruah selain menghidupkan sedikit api
peluang kita untuk melayakkan diri ke pentas akhir Piala Asia 2019,"
katanya ketika ditemui pemberita pada sesi latihan di Buriram semalam.
Sebagai rekod, kekalahan kelmarin menyaksikan
skuad kendalian Nelo Vingada itu perlu meraih mata maksimum selepas sekadar
mengutip satu mata dalam empat perlawanan aksi Kumpulan B ketika ini.
Sementara itu, penjaga gol skuad negara, Hafizul
Hakim Khairul Nizam Jothy percaya nasib tidak menyebelahi pasukan kebangsaan
apabila Korea Utara dihadiahkan sepakan penalti pada awal perlawanan yang
menjejaskan momentum rakan sepasukan.
"Saya akui pasukan tidak beraksi dengan
baik dan tanggungjawab atas kekalahan ini akan dipikul oleh kesemua pemain.
Secara jujur, saya turut tidak menyangka dibolosi empat gol tetapi segalanya
sudah terjadi.
"Mungkin kelebihan dari segi fizikal yang
dimiliki mereka menjadi salah satu punca kami tewas semalam (kelmarin). Namun,
ia bukan alasan kerana kami tidak boleh menafikan bahawa mereka adalah pasukan
yang lebih baik sepanjang 90 minit perlawanan," kata penjaga gol Perak
itu.