SUKAN»Bola
Jumaat, 21 September 2018 |
4:57pm

FADHLI Shas
Fadhli azam tebus badi
Oleh Rizar Mohd Noor
sukanteam@nstp.com.my
JOHOR BAHRU: Walaupun Johor Darul
Ta’zim (JDT) melepasi saingan kumpulan kempen Piala Malaysia namun ada tugasan
yang lebih mencabar buat skuad itu pada suku akhir pertama apabila berdepan
Pahang di Stadium Darul Makmur, Ahad ini.
Biarpun ia tampak berliku tetapi
tonggak pertahanan JDT, Fadhli Shas jelas mengidam kemenangan buat skuad yang
mendapat julukan Harimau Selatan bagi menamatkan badi sering tumpas kepada Tok
Gajah dalam saingan kalah mati.
Dia menegaskan keinginan untuk
mengekalkan kejuaraan Piala Malaysia yang dimenangi musim lalu begitu menebal
namun tetap berwaspada dengan ancaman skuad kendalian Dollah Salleh yang
memiliki kekuatan tersendiri.
“Ia menjanjikan perlawanan
menarik memandangkan JDT berstatus juara Liga Super akan berdepan Pahang, juara
Piala FA musim ini. Sudah tentu ia menjadi aksi tumpuan dalam kalangan
penyokong kedua-dua pasukan.
“Kami pernah dikecewakan oleh
Pahang selepas tersingkir dengan agregat 0-3 pada suku akhir Piala FA dan kini
kami sekali lagi bertemu pada peringkat sama tapi piala berbeza. Bagi saya itu
mungkin sudah suratan dan kami akan turun habis-habisan.
“Benteng pertahanan JDT akan
diperkuatkan dengan kehadiran semula Marcos (Antonio) dan ia sekali gus memberi
lebih keyakinan kepada pemain untuk memperagakan aksi terbaik serta berusaha
menyekat setiap percubaan Pahang,” katanya ketika dihubungi Sukan NSTP, hari
ini.
Rekod JDT bertemu musuh ketat
mereka dalam saingan kalah mati kurang memberangsangkan apabila tewas dalam
empat perlawanan terakhir termasuk final Piala Malaysia 2014 menerusi sepakan
penalti 3-5 sesudah terikat 2-2 selepas 120 minit.
Namun bagi Fadhli, pengalaman
pahit sepanjang pertembungan menentang Pahang dalam aksi kalah mati sama ada Piala
Malaysia dan Piala FA menjadi lipatan sejarah dan sudah tiba masanya meleraikan
badi yang sering menghantui JDT.
Malah katanya, semua pemain JDT
cukup bermotivasi selepas menempuh detik cemas sepanjang kempen Piala Malaysia
apabila mereka hampir tersingkir pada peringkat kumpulan.
“Sama ada saya diturunkan atau
sebaliknya, saya harus bersiap sedia dan sentiasa fokus bagi membantu pasukan
memburu kemenangan kerana kami sedar Pahang akan berusaha menang untuk
dijadikan bekalan selesa menjelang suku akhir kedua.
“Kami tidak boleh memberi ruang
kepada pemain Pahang kerana kami tahu Mohamadou Sumareh dan Mat Yo (Norshahrul
Idlan Talaha) begitu berbahaya jika diberi ruang selain kebijaksanaan Patrick
Cruz menyambar peluang,” ujar Fadhli.[i]
Tiada ulasan:
Catat Ulasan