Penjaga gol Malaysia, Farizal
Marlias (kanan) gagal menepis percubaan penyerang Chelsea, Romelu Lukaku untuk
gol ketiga The Blues pada perlawanan persahabatan di Stadium Shah Alam, malam
tadi.
Gol Fadhli 'kejut' anak buah
Mourinho
Shah Alam: Janji jurulatih
kebangsaan, Datuk K Rajagobal untuk anak buahnya menampilkan persembahan
menghiburkan hanya tinggal janji apabila Harimau Malaya mudah diratah Chelsea
4-1 pada aksi persahabatan jelajah pra-musim di Stadium Shah Alam, malam tadi.
Sebaliknya kira-kira 40,000 penyokong
yang hadir lebih terhibur dengan gerakan menarik serta kemahiran dipamerkan
pemain Chelsea sekali gus menimbulkan persoalan adakah Rajagobal sudah
ketandusan idea mencatur strategi dan hilang sentuhan emasnya?
Rajagobal menurunkan kesebelasan
hampir serupa ketika seri 0-0 dengan Chonburi FC, Selasa lalu kecuali
menyenaraikan Norshahrul Idlan Talaha dan Mahalli Jasuli menggantikan tempat
Ahmad Fakri Saarani dan Nor Farhan Muhammad.
Pengendali Chelsea, Jose Mourinho
pula mempertaruhkan kesebelasan campuran pada setiap babak dengan menampilkan
beberapa pemain bintang seperti Branislav Ivanovic, Michael Essien, Eden
Hazard, Romelu Lukaku dan kapten, John Terry pada separuh masa pertama.Gol
pertama Chelsea terhasil seawal minit kelima menerusi pemain muda dari Burkina
Faso berusia 18 tahun, Bertrand Traore yang mudah menyudahkan hantaran leret
Kevin De Bruyne dari sebelah kanan.
Gol Fadhli penawar
Namun Harimau Malaya hampir menyamakan
kedudukan pada minit ke-22 tetapi rembatan tepat K Gurusamy hasil sepakan
penjuru Mahalli terbias kaki pertahanan Chelsea lalu keluar. Chelsea kemudian
menambah gol kedua pada minit ke-28 menerusi sepakan voley De Bruyne hasil
umpanan Lukaku tetapi akibat berlaga dengan pertahanan Malaysia, pemain Belgium
berusia 22 tahun itu cedera dan terus dikeluarkan tanpa sempat meraikan
jaringannya.
Melihat kerapuhan pertahanan,
Rajagobal memasukkan Fadhli Shas menggantikan Azizi Mat Rose pada minit ke-45
tetapi pada masa kecederaan babak pertama, Lukaku yang melepasi perangkap
ofsaid tenang menyudahkan gol ketiga Chelsea menewaskan Farizal
Marlias.Bersambung babak kedua, Mourinho melakukan sembilan pertukaran dengan
memasukkan pemain bintang antaranya Petr Cech, Ashley Cole, Ramires, Victor
Moses, Andre Schurrle, Demba Ba dan Gary Cahill.
Sebaliknya, Rajagobal kekal dengan
pemain sama sebelum melakukan tiga pertukaran serentak pada minit ke-55 dengan
memasukkan Safiq Rahim, Amiridzwan Taj Tajudin dan Nor Farhan disusuli kemasukan
Safee Sali dan Nazmi Faiz Mansor, 12 minit kemudian.
Chelsea menambah gol keempat
hasil rembatan Moses pada minit ke-88 yang gagal ditepis kemas oleh Farizal
tetapi Harimau Malaya akhirnya berjaya juga mendapat gol saguhati pada masa
kecederaan menerusi tandukan Fadhli Shas hasil sepakan percuma Safiq.
Malaysia nyaris mendapat gol
kedua pada penghujung permainan tetapi rembatan penyerang gantian, Nizaq Ayub
diselamatkan Cole di atas garisan gol ketika Cech sudah pun tertewas.[1]
__________________________________
[1] Wan Fakhrul Bakar |
wanfakhrul@mediaprima.com.my
Tiada ulasan:
Catat Ulasan